Setiap anak-anak mempunyai karakter yang tersendiri dan unik. Kadangkala, si adik nampak lebih berdikari dan berani berbanding si abang. Seperti anak didik di dalam playgroup saya, pelbagai ragam dapat dilihat.

Ada yang terlebih aktif dan peramah sehinggakan berjela-jela ceritanya. Sebaliknya, yang pemalu dan pendiam pula, takkan lekang pegang tangan si ibu. Lucu dibuatnya apabila melihat aksi-aksi mereka di dalam kelas saban minggu.

Antara ciri-ciri anak yang pendiam dan pemalu ialah :-

  • Mereka enggan untuk bercakap di dalam kelas dengan sesiapa pun kecuali hanya dengan ibunya
  • Tidak mahu untuk bersosial bersama rakan dalam setiap aktiviti berkumpulan
  • Lebih cenderung untuk bermain sendirian di dalam kelas dan jauh daripada kawan-kawan

Bagi ibu bapa yang mempunyai masalah anak yang pendiam, pemalu atau menyendiri @ reserved seperti ini, pastinya cabaran yang besar untuk menghantar mereka ke tadika kelak. Pastinya berbulan-bulan mereka akan menangis di tadika tatkala ditinggalkan ibu mereka di waktu pagi.

Sedikit perkongsian di bawah ini :

Idlan merupakan anak yang pendiam di dalam kelas. Mesej ini daripada ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah. Ini membuktikan juga, walaupun Idlan seorang yang pendiam di dalam kelas tetapi Idlan memahami segala input yang di ajar. Jelas bahawa program playgroup ini menyeronokkan dan berkesan !

Bagaimana kelas playgroup dapat membantu anak sebegini ?

Lebih perhatian– Saya memerlukan lebih kurang sebulan untuk memahami setiap karakter mereka. Perhatian yang lebih akan diberikan kepada anak yang pendiam ini. Mereka akan diberi peluang untuk duduk bersebelahan dengan saya bagi memberi mereka peluang sebagai ‘ketua darjah’ di dalam kelas. Soalan akan banyak ditanya dan penghargaan seperti tepuk tangan juga akan membantu mereka untuk keluar dari zon pendiam tersebut.Terlebih dahulu, saya akan menerangkan kepada ibu bapa yang lain agar mereka tidak salah faham dan untuk berlaku adil.

Bawa mainan kesukaan – Memandangkan sesi kelas playgroup kami berlangsung secara santai, membawa mainan kesukaan mereka juga amatlah digalakkan. Cara ini dapat membantu mengubah mentaliti mereka, bahawa sekolah itu menarik, seronok dan bukanlah seperti yang mereka fikirkan. Contohnya, anak didik saya Amir Shawqi 3 tahun sentiasa membawa kereta mainannya setiap sesi kelas. Bukankah belajar itu seharusnya menyeronokkan ?

Seni kreatif – Pada setiap penghujung kelas, sesi kraftangan antara perkara yang ditunggu-tunggu mereka. Mereka akan teruja untuk beratur untuk mengambil bahan kraftangan daripada saya termasuk bagi mereka yang pendiam. Mana mungkin kan mereka duduk diam, bila tengok kawan yang lain dapat mainan ? Faktor inilah yang akan membantu sedikit sebanyak anak yang pendiam ini membina keyakinan diri mereka.

Persembahan– Penghargaan seperti tepuk tangan yang gemuruh, mendapat lima bintang dan pujian adalah penawar bagi anak yang pendiam ini. Apabila hasil kraf mereka telah siap, berlumba-lumba mereka akan menjadi yang terawal untuk mempersembahkan hasil kreativiti mereka di hadapan saya dan rakan. Tatkala anak yang pendiam ini berani untuk bangun ke hadapan untuk menunjukkan hasil kraftangan yang telah dibuat, itulah merupakan satu kejayaan BESAR bagi si ibu dan bapa.

Jadi, mengapa perlu bimbang apabila mempunyai anak sebegini ? Mereka hanya memerlukan masa yang lebih dan sokongan daripada anda untuk menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran yang baru. Lebih-lebih lagi sesuatu perkara seperti ‘sekolah’ atau ‘belajar’ yang asing bagi mereka.

Berilah mereka peluang untuk belajar dalam suasana yang menyeronokkan tanpa ada ketakutan dalam diri mereka. Melalui playgroup ini kita bukan sahaja membantu memberi pendedahan awal pelajaran terhadap mereka, malah daya keyakinan juga dapat dibentuk. Berilah mereka sokongan spiritual dan holistik yang tak berbelah bagi ini buat si manja anda.

*******

Excel Qhalif menjemput tuan/puan dan si manja anda ke Kelas PERCUMA ALIMkids Playgroup yang berlangsung hampir setiap hujung minggu. Ruangan kelas ini diadakan khas untuk anak anda mengalami sendiri modul kami. Disamping perolehi hujung minggu yang berkualiti bersama anak-anak, si manja juga mendapat ilmu, berinteraksi dan bersosial secara sihat. Ibubapa dan si manja dari usia 2 ke 4 tahun dijemput hadir. Bukan untuk orang lain tetapi untuk anak anda. InsyaAllah. Klik banner di bawah untuk ketahui jadual, lokasi dan daftarlah sekarang!

Salam kasih sayang & keprihatinan,

Teacher Ayu 🙂

Pin It on Pinterest

Shares
Share This