Melatih anak untuk berkata benar dan seterusnya mempunyai sikap bertangungjawab bukanlah boleh dipupuk dalam sekelip mata. Selain menuntun jangka masa yang lama, tahap kesabaran juga perlu diambil kira. Oleh itu, buang jauh-jauh rasa hendak marah jika percubaan kali pertama kita hingga kesekian kalinya gagal. Beri mereka ruang dan peluang.

Namun, melatih mereka melakukan aktiviti fizikal adalah jauh lebih senang kerana mereka mudah melihat pergerakan badan kita dan ada objek yang dieksperimenkan. Contohnya, mengajar anak mengenakan tali kasut sekolah. Mereka mula mahir apabila sudah memahami konsep asas melakukannya. Dan ianya mungkin hanya mengambil masa dalam sebulan dua sahaja untuk itu.

Sukarkah untuk bersikap jujur ?

Lawan bagi sikap jujur adalah bohong. Untuk mengelakkan diri mereka dimarahi, berbohong adalah cara terbaik bagi anak-anak.

Sedaya mungkin mereka mengiyakan kenyataan mereka itu. “Tak ibu, Amin tak conteng dinding ni…” atau mungkin ayat seperti ini ” tak ibu, amin tak conteng dinding ni, adik yang buat…”.Sudahlah berbohong, menyalahkan orang lain pula lagi. Sebab itu juga, hasil daripada tidak bersikap jujur mereka akan mula menjadi abang/kakak tidak bertangungjawab.

Sikap jujur boleh dibentuk dan tidaklah sesukar mana…

Mendidik anak-anak yang di bawah usia 6 tahun sangat berbeza dengan anak belasan tahun. Disebabkan mereka mempunyai kekurangan daya pemikiran logik yang tidak boleh menilai yang mana baik atau buruk, maka menjadi tugas kita sebagai ibubapa mendidik mereka melalui tauladan. Sepertimana Rasulullah S.A.W memberi tauladan yang baik buat para sahabat dan umat baginda, begitulah juga kita.

1) Terangkan mereka ‘rasa’ bagaimana perasaan apabila ditipu

Bagaimana rasanya ditipu ? Marah, sedih dan geram. Berulang kali ditipu lagi marah jadinya. Berikan si manja kita merasa perasaan tersebut demi mendidik mereka.

Anak-anak akan lebih marah jika melibatkan barang kegemaran mereka seperti patung, botol susu ataupun apa sahaja yang menjadi ‘buah hati’ mereka.

Solusinya, tanya mereka apa yang mereka rasa ? Suka atau tidak jika jadi begitu ? Pastinya mereka mengelengkan kepala. Usap kepala dan peluk anak untuk menenangkan mereka. Setelah anak tenang, beritahu mereka begitulah anda rasa apabila mereka tidak bercakap jujur. Terangkan juga, jika berbuat salah sekalipun beritahu perkara yang sebenarnya kerana anda tidak akan marah asalkan mereka berkata jujur.

Dengan cara ini, secara tak langsung kita mendidik anak untuk bercakap jujur tanpa rasa takut akan dimarahi. Walaupun apa yang mereka lakukan itu adalah salah, inilah masa untuk kita memberi input yang betul kepada mereka apa yang sepatutnya mereka lakukan. Programkan minda mereka dengan perkara yang sepatutnya agar orang ketiga contohnya televisyen tidak mengambil alih tugas tersebut.

 2) Elakkan pertanyaan yang membawa maksud negatif

Elakkan pertanyaan seperti ini, “Iman yang koyakkan surat Mama ini ya ? “. Gantikan seperti ini, ” Iman tahu kan Iman tak boleh usik barang kerja Mama”. Elakkan untuk mengeluarkan soalan yang akan ‘memerangkap’ diri anak-anak yang kita sendiri tahu jawapannya.

Secara sainsnya adalah apabila anak-anak merasa bersalah, perasaan gemuruh dan takut akan menguasi diri. Oleh itu, tindakan mereka untuk berbohong adalah lebih selamat mereka rasakan daripada berkata jujur. Bukan sahaja bagi anaklah, untuk kita yang dewasa pun kadangkala terperangkap dalam memilih samada untuk bercakap jujur atau tidak apabila kita tahu akibatnya jika berterus terang.

3) Bersikap jujur dengan anak-anak

Kadangkala kita juga tidak bersikap sebenar-benarnya jujur dengan anak-anak. Maksud saya ialah, perkara-perkara yang kita fikir ianya terlalu kecil atau tidak bermaksud untuk berkata bohong. Misalannya, “Mama hendak pergi beli barang dapur sekejap sahaja, Damia duduk rumah dengan bibik ya”. Tetapi anda pergi berjam-jam lamanya dan bukan sekejap seperti yang dijanjikan tadi. Dengan cara ini, secara tidak langsung, kitalah sebenarnya yang ‘mendidik’ mereka untuk bercakap bohong dan mereka lambat-laun tidak mempercayai kata-kata kita lagi.

Walaupun ianya nampak remeh namun meningkalkan kesan yang besar pada pemikiran mereka. Bagi mereka, perkara begitu(menipu) boleh ditiru dan tidak salah kerana ibu mereka pun melakukannya. Jangan samakan pemikiran anak-anak dengan kita. Kita mungkin memahami faktor kesesakkan jalan raya atau sebagainya yang membuatkan kita terlewat. Oleh itu, pastikan setiap apa yang kita beritahu mereka sama apa yang bakal kita lakukan.

Melatih sikap yakin diri anak-anak

Perasaan takut dan gemuruh antara faktor menyumbang kepada anak untuk tidak bercakap jujur. Ketika ini mereka tidak tahu bagaimana untuk menyembunyikan perasaan tersebut.

Selain takut dimarahi mereka juga merasa kurang yakin untuk menyatakan perkara yang benar. Anak yang kurang yakin pada diri sendiri akan mula memilih untuk bersikap menyendiri, pendiam dan kurang minat untuk belajar.Perhubungan komunikasi dan pendedahan bersama rakan sebaya adalah antara platfrom terbaik untuk menyerlahkan keyakinan diri anak-anak. Semakin awal mereka didedah semakin tinggi keyakinan mereka.

Program playgroup misalanya, adalah antara platfrom untuk meningkatkan keyakinan diri dan minat belajar anak-anak.Walaupun ianya didedahkan secara santai dan bermain tetapi cara ini sudah cukup untuk mengisi kemampuan intelektual mereka berkembang. Berikan si manja ruang untuk berkawan dan menyerlahkan potensi diri mereka bersama rakan yang lain hari ini. Sehingga berjumpa nanti di bahagian II nanti.

Pin It on Pinterest

Shares
Share This