Si Manja dan permainan ibarat wanita dan beg tangan. Ia memang tidak boleh dipisahkan. Bermain adalah elemen yang sangat penting untuk perkembangan anak-anak. Semakin banyak mereka bermain semakin banyak mereka belajar.

Keadaan rumah yang bersepah boleh menimbulkan tekanan bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak kecil. Lebih-lebih lagi bagi ibubapa yang bekerjaya. Sudah pasti sangat meletihkan apabila sepanjang hari tidak putus-putus mengemas barang permainan anak-anak dari pagi sampai ke malam hari. Orang lain yang bermain, orang lain pula yang mengemas!

Oleh itu, mari cuba teknik-teknik praktikal yang boleh dipraktiskan bagi menggalakkan Si Manja mengemas sendiri barang permainan mereka sesuai dengan usia mereka :

1Berikan Kawasan Jagaan
Kanak-kanak sangat suka memerhati kelakuan orang dewasa dan sesekali meniru aksi orang yang rapat dengan mereka seperti ibubapa dan adik-beradik. Si Manja akan teruja untuk melakukan kerja-kerja orang dewasa kerana pada peringkat umur ini mereka gemar berlagak dewasa. Berikan mereka “kawasan jagaan” supaya mereka rasa dipercayai dan dihormati.1) 

“Adik, tempat mainan ini kawasan adik. Mama jaga dapur ye. Jangan bagi sepah kawasan adik tau”.

Mereka pasti komited dan bersemangat untuk menjaga kawasan mereka supaya lebih bersih daripada kawasan orang lain.

Berikan Penerangan dan Panduan yang Betul
Sebelum memberikan arahan mahupun hukuman, pastikan Si Manja terlebih dahulu diajar bagaimana cara mengemas yang betul. Jika mahu mereka memasukkan sampah ke dalam tong sampah, pastikan mereka tahu di mana kedudukan tong sampah dan bagaimana kaedah memasukkan sampah ke dalam tong sampah dengan betul. Ulang beberapa kali, nescaya mereka boleh mahir dengan sendirinya. Jangan terkejut jika Si Manja yang baru berumur 2 tahun pun boleh melakukannya. “Practise make perfect!”

Buat Bersama-Sama
Jika ibubapa terlalu kerap menyuruh anak-anak untuk mengemas, lama kelamaan mereka akan merajuk atau buat endah tidak endah. “Asyik-asyik abang je kemas”. Mengemas sangat meletihkan tetapi ia boleh menjadi aktiviti untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan. Mood boleh berubah apabila Si Mama mengajak Si Manja untuk mengemas bersama-sama. “Jom kita kemas sama-sama. Siapa siap dulu dia dapat 5 bintang”.

Mengemas Sambil Bermain
Siapa kata ketika mengemas tidak boleh bermain. Sambil mengemas boleh menyanyi lagu Barney , “Clean up, clean up, everybody, everywhere. Clean up, clean up, everybody do your share”. Sambil mengutip mainan boleh juga mengajar mengira 1, 2, 3. Sambil mengutip mainan boleh juga menguji warna dan bentuk pada Si Manja. Mengemas bukan lagi memenatkan tapi boleh menghiburkan.

Ganjaran dan Motivasi
Jangan kedekut atau bertangguh untuk mengucaplah terima kasih atas kerjasama mereka. Pujilah Si Manja anda apabila mereka berjaya melakukan tugas-tugas mereka dengan baik. Sekali-sekala suntiklah motivasi kepada anak-anak dengan memberikan ganjaran yang bukan berbentuk wang seperti buku, permainan lego, makanan kesukaan atau mungkin tayangan cerita Upin Ipin kegemaran Si Manja.

Mengajak Si Manja untuk turut serta dalam kerja-kerja mengemas rumah membawa banyak manafaat. Selain daripada memberi pendedahan awal tentang tugas-tugas berkaitan kebersihan di kediaman, ia menjadikan mereka berdisiplin dan memupuk rasa bertanggungjawab. Asuhan seawal usia empat hingga enam tahun boleh dimulakan di rumah.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya !

====================================

BERITA BAIK: Sesi ‘Trial Class’ Playgroup Kini DIBUKA. Beri peluang anak anda merasai pengalaman manis dalam sesi kelas bersama kami. Anak bakal didedahkan dengan interaksi sosial yang sihat, perkembangan yang membantu kemahiran motor halus/kasar serta aktiviti belajar sambil yang meransang minda mereka. Klik link banner di bawah untuk mendaftar

Pin It on Pinterest

Shares
Share This