Adegan menangis, merajuk dan mengamuk tidak mahu ke tadika sering dihadapi oleh kebanyakan ibubapa. Bahkan membuatkan ibubapa jadi tidak keruan apabila sering sampai lewat di tempat kerja pada waktu pagi.

Antara langkah yang boleh kita lakukan dalam menangani masalah si manja tidak mahu ke sekolah adalah:

1Sebelum ke tadika
Seelok-eloknya ketika malamnya sebelum ke sekolah mahupun dalam perjalanan ke tadika, wujudkan perbualan tentang persekolahan dengan si manja. Cetuskan keghairahan dengan cerita-cerita yang menarik supaya emosinya lebih bersedia. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah seperti ada ramai kawan-kawan dan guru-guru yang baik, guru-guru dan kawan-kawan tertunggu-tunggu si manja datang, ada aktiviti yang seronok bersama kawan-kawan, selitkan pesanan-pesanan yang membina dan bermacam-macam lagi.

Buat kerja rumah dan ulangkaji bersama-sama. Siapkan alatan persekolahan bersama-sama dengan si manja seperti beg, alatulis, buku-buku dan pelbagai lagi. Beri fleksibeliti untuk mereka memilih pakaian persalinan yang mereka suka dan selesa dengan bimbingan ibuayah. Tidak dilupakan juga bekal yang disukai yang dipilih oleh si manja sendiri. Tunjukkan minat dan sokongan anda terhadap persekolahan mereka.

Sebelum tidur pesanlah untuk mereka baca doa sebelum tidur supaya mereka bangun awal untuk ke sekolah dengan gembira. Jelaskan guru-guru dan kawan-kawan mesti tertunggu-tunggu kehadiran mereka di sekolah esoknya. Dan guru-guru suka siapa yang datang awal pagi ke kelas. Ketika mereka dalam zon tidur-tidur ayam atau lebih dikenali sebagai zon separa sedar, selitkan juga doa ibuayah dan programkan minda si manja untuk mereka suka pergi ke sekolah.

2Ketika si manja di tadika
Sesungguhnya hati manusia ini kepunyaan Allah SWT. Banyakkan berdoa hatta si manja berada di tadika dan ibuayah berada di pejabat masing-masing. Ketika teringatkan si manja di pejabat, bayangkan wajah mereka dan sedekahlah surah Al Fatihah kepada mereka dan guru-guru yang mendidik mereka supaya dengan izin Allah mereka suka berada di tadika dan diberkati ilmu yang diterima. Bayangkan segala yang baik-baik semoga aura positif sampai kepada si manja dan ia menjadi satu doa. Boleh juga diamalkan bacaan surah Ali Imran ayat ke-200 untuk melembutkan hati anak. Juga zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum dan Ya Latif’.

3Pulang daripada tadika
Tonjolkan keceriaan kita ketika menyambut mereka pulang daripada tadika. Wujudkan perbualan tentang sesi persekolah pada hari itu. Tanyakan soalan-soalan tentang kesihatan kawan-kawan si manja, nama kawan-kawan mereka, pelajaran yang diajar oleh guru-guru dan aktiviti-aktiviti yang diikuti. Serlahkan minat dan keterujaan ketika mendengar si manja berkongsi cerita tadikanya yang boleh membuatkan mereka merasa kita sebahagian daripada kehidupan sekolah mereka.
Beri ganjaran dari sudut pujian dan galakan apabila si manja menunjukkan sikap yang baik dan suka ke sekolah. Sesekali mungkin boleh berikan ganjaran fizikal yang berpatutan tapi bukan sebagai umpan berbentuk rasuah yang mahal.

Sekiranya si manja terus meragam, laluilah ia dengan sabar dan memujuk mereka dengan banyak berbual, bermain dan bercerita. Ia boleh meredakan banyak masalah emosi si manja. Sekiranya masalah tidak mahu ke sekolah berlarutan dan anak mempunyai masalah psikologi seperti ‘anxiety’ dan ‘depression’, dapatkan rawatan lanjut dengan pakar perubatan.
Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan mengambil masa yang berbeza untuk menyesuaikan diri. Semoga zaman prasekolah ini menjadi pengalaman yang manis untuk dikenang baik untuk si manja mahupun ibuayah.
Semoga bermanfaat ~ 🙂

====================================

BERITA BAIK: Sesi ‘Trial Class’ Playgroup Kini DIBUKA. Beri peluang anak anda merasai pengalaman manis dalam sesi kelas bersama kami. Anak bakal didedahkan dengan interaksi sosial yang sihat, perkembangan yang membantu kemahiran motor halus/kasar serta aktiviti belajar sambil yang meransang minda mereka. Klik link banner di bawah untuk mendaftar

Tags: , , , , , , , , , ,

Leave a Reply