“Mama, afiq nak kereta mainan tu jugaaaaaak!”
Si anak meronta dan berguling-guling di atas lantai kedai permainan. Dalam keadaan yang terdesak untuk menenangkan anak, si ibu pun membeli kereta mainan tersebut walaupun membelinya bukanlah dalam perancangan si ibu.

Situasi seperti ini berkemungkinan adalah situasi biasa yang sering kali di alami oleh para ibu bapa di luar sana. Anak mula bersikap memanipulasi terhadap kedua ibu bapa mengikut keinginan mereka tidak kira tempat atau masa. Si anak juga sudah menjangkakan mereka akan menang dalam perang psikologi dengan ibu bapa mereka.

 

Sebagai terapis carakerja, saya juga selalu mendengar aduan seperti ini daripada ibu bapa:

“Saya cuba praktis aktiviti teacher buat di kelas semasa di rumah tapi tak jadi. Macam mana teacher boleh suruh dia fokus buat kerja sampai sepuluh minit sedangkan buat di rumah dua minit pun tak lepas”.

Mungkin ada faktor lain yang menyumbang kepada keadaan tersebut seperti distraction yang terdapat di rumah yang menyukarkan anak untuk fokus dalam aktiviti. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan faktor yang mungkin lebih besar menyumbang adalah sikap manipulasi anak.

Walaupun dia seorang anak autistik?

Ya, walaupun dia seorang anak autistik.

Sikap memanipulasi walaupun kedengarannya seperti gejala karakter yang negatif, namun sebenarnya ia menunjukkan potensi anak yang mula ‘tahu fikir’ dan ‘panjang akal’ untuk menempuhi persekitaran sosial. Orang dewasa juga mungkin tanpa disedari memiliki kemahiran manipulasi ini untuk menyesuaikan diri dalam kehidupan seharian seperti dalam rumah tangga, alam pekerjaan dan persahabatan.

Walau bagaimanapun, harus diingati sekiranya tidak dikawal dengan baik sikap manipulasi ini, ianya boleh membawa kemudaratan kepada perkembangan anak dari pelbagai aspek seperti kemahiran psikososial, kemahiran pertuturan, kemahiran sosial dan interaksi serta masalah tingkah laku.

manipulation-kidKetahui Kenapa Anak Bersikap Memanipulasi

Sebelum ibu bapa ghairah ingin menangani sikap manipulasi anak, adalah lebih baik bagi para ibu bapa mencungkil dahulu kenapa anak bersikap manipulasi. Setiap pokok ada akarnya, dan setiap masalah mesti ada puncanya.

1. Sudah terbiasa dimanjakan
Ini perkara biasa yang menyumbang kepada sikap manipulasi anak. Segala yang diminta akan diberi. Jadi, sekiranya kadang-kadang ada benda yang tidak boleh dimiliki, minda bawah sedar mereka merasa pelik dan tidak boleh menerima perkara yang bukan menjadi kebiasaan mereka.

Anak yang memupuk sikap manipulasi kerana terbiasa dimanjakan ini juga boleh membawa kepada masalah pertuturan walaupun dia mempunyai perkembangan bahasa yang baik (memahami setiap perkataan, arahan,etc) dan bukan seorang kanak-kanak autistik. Sebagai contoh, dengan hanya menghulur tangan, ‘pointing’ kepada objek dan hanya menyebut ‘nak’, si anak sudah diberi apa yang dimahukan. Jadi, dia sudah berada dalam zon selesa untuk tidak perlu berfikir membuat permintaan dengan ayat yang lengkap dan sebagainya.

2. Untuk meraih perhatian ibu bapa
Setiap anak memerlukan perhatian dari ibu bapa dan mempunyai pelbagai cara untuk meraih perhatian ibu bapa. Salah satunya adalah dengan memanipulasi keadaan pesekitarannya. Ada anak yang semasa bersama ibu bapa di rumah jarang mengamuk atau berlaku aggresif tetapi apabila pulang ke kampung, pergi ke pusat membeli belah, semasa di taska dan sebagainya, mereka mula bertidak sedemikian untuk mendapatkan perhatian persekitaran sekelilingnya.

3. Ibu dan bapa tidak sepakat dalam menentukan sesuatu perkara
Kerap kali kita berjumpa dengan situasi ini seperti contoh seorang ibu sudah bertegas dengan anak untuk mendisiplinkannya dalam sesuatu perkara, namun si ayah pula bersikap lebih fleksibel dan lebih mendahulukan keinginan si anak, begitu juga sebaliknya. Ibu bapa yang tidak sepakat seperti ini akan lebih memudahkan anak untuk bersikap manipulasi terutamanya terhadap pihak yang lebih fleksibel kepadanya.

4. Mempunyai masalah sensori (Sensory Processing Disorder)
Sensory Processing Disorder dialami kebiasaannya oleh kanak-kanak autistik. Kanak-kanak autistik yang mempunyai masalah sensori tidak mampu untuk memberi kerjasama dalam sesuatu aktiviti atau persekitaran sekiranya terdapat perkara yang mengganggu sensitiviti sensorinya. Jadi, mereka bersikap manipulatif untuk melepaskan diri mereka dari ketidak selesaan yang dialami. Seperti contoh, seorang anak autistik mempunyai masalah sensori pendengaran yang tidak suka bunyi bising. Dia meronta-ronta tidak mahu ke sekolah bukan kerana malas atau mahu bermain di rumah, tetapi kerana suasana kelas yang agak bising menyebabkan dia berasa terlalu tidak selesa berada di dalam kelas.

5. Anak sudah merasa autonomi ke atas ibu bapa
Kerana sudah selalu berjaya memanipulasi ibu bapa, anak akan mula merasa ada ‘power’ atau ‘autonomi’ ke atas ibu bapa. Mereka juga sudah pandai membaca kelemahan ibu bapa mereka. Pada peringkat ini, walaupun ibu bapa meninggikan suara ke oktav paling tinggi, anak akan tetap yakin bahawa dia akan menang dan dapat apa yang dihajati.

Sekiranya gagal, maka pada peringkat ini mereka akan berpotensi untuk mula menjadi aggresif dan abusive sama ada pada diri sendiri atau orang lain. Mereka juga akan mula pandai meninggikan suara untuk melawan ibu bapa serta mengugut ibu bapa. Pada ketika ini, perkara yang lebih menjadi masalah bukan lagi sikap manipulasi, tetapi tingkah laku negatif yang dilakukan oleh anak tersebut.

amirah-mohd-occupational-therapist-1

BIODATA PENULIS
Amirah Mohd
; Terapis Carakerja adalah graduan lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini berkhidmat sepenuh masa di Excel Qhalif . Beliau merupakan sebahagian tenaga pengajar di kelas Excel Qhalif Playgroup Xtra dan sesi Excel Ocuupational Therapy.

*****

Excel Qhalif Playgroup Xtra

Program ini direka eksklusif untuk anak-anak yang berkeperluan khas seperti autisme,  ADHD, ADD, global delay GDD, speech delay, dyslexia mahupun down syndrome.Ia dijalankan secara intensif setiap hujung minggu (Sabtu & Ahad) di mana aktiviti yang dijalankan merangkumi teknik Terapi Carakerja (OT) dan Speech Program.

Antara objektif program ini adalah menjadikan ibubapa sebagai terapis yang berkesan kepada anak disamping menambah ilmu pengetahuan ibubapa yang terlibat. Program bukan sahaja teori, malah menekankan latihan dan amali bersama anak. Penerangan lanjut tentang program ini, boleh didapati di www.excelqhalif.com/excel-qhalif-playgroup-xtra.

banner-web-eqpx-700x150

Tags: , , , , , , , , , ,

Leave a Reply