Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Rasanya belum terlewat untuk teacher ucapkan salam Ramadaan dan selamat berpuasa kepada semua ibu bapa. Semoga Ramadan tahun ini kita sambut dengan perancangan yang lebih rapi supaya tidak sia-sia nikmat dan peluang mengecap Ramadan yang ditunggu-tunggu setiap tahun.

Ibadah puasa adalah sama tarafnya seperti ibadah solat, menjadi kewajipan kepada semua muslim yang baligh dan berakal. Maka ada yang mungkin bertanya, bagaimana dengan anak autism saya? Di dalam kad pengenalan dirinya didaftarkan sebagai muslim, jadi apakah wajib bagi saya sebagai ibu bapa melatih dia dengan solat dan puasa?

Saya memandang sangat tinggi kepada ibu bapa yang membesarkan dan mendidik anak-anak istimewa, sama ada autism, down sindrom, ADHD, cerebral palsy dan keistimewaan-keistimewaan lain lagi. Ini kerana anak-anak ini bakal menjadi laluan mudah bagi ibu bapanya ke syurga, malah kebanyakan dari kita menggelarkan mereka sebagai anak syurga.

Maka bagi anak-anak syurga ini, adalah menjadi tanggung jawab bagi ibu bapa, guru-guru dan orang sekelilingnya menerapkan nilai ahli syurga dalam diri mereka, seperti tingkah laku-tingkah laku yang baik, dan tidak ketinggalan juga adalah amalan wajib seperti solat dan puasa. Walau bagaimanapun, ianya pasti bergantung juga pada kemampuan akal mereka untuk menerima dan memahami, kerana ibadah solat dan puasa itu sendiri menetapkan berakal sebagai indicator penting kewajipannya terhadap seseorang individu muslim.

Tetapi bagaimanakah dapat kita ketahui kemampuan akal seseorang kanak-kanak autism itu mampu menerima dan memahami konsep ibadah solat dan puasa? Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan mencuba mengenalkan dan melatih terlebih dahulu. Sama seperti kemahiran mengurus diri, toilet training, kemahiran social dan komunikasi dan lain-lain, kebanyakan anak istimewa, sekiranya dilatih dengan teknik yang betul, dilihat mampu menerapkan kemahiran-kemahiran ini dalam kehidupan seharian mereka. Walaupun pada peringkat awal dilatih, kita menjangka tahap akal mereka mungkin tidak mampu untuk menerimanya. Begitulah juga analoginya bagi amalan ibadah solat dan puasa.

Pada peringkat awal mengenalkan konsep dan melatih kaedah solat dan puasa, para ibu bapa pastinya akan mengalami cabaran dan kesukaran untuk menerapkannya di dalam diri anak. Apatah lagi ibadah puasa yang memerlukan mereka menahan lapar dan dahaga, kerana menjadi sinonim pada kebanyakan kanak-kanak autism adalah kelemahan mereka menunggu dalam jangka masa yang lama. Tetapi jangan kita terlepas pandang, kebanyakan kanak-kanak autism mempunyai kelebihan menepati rutin dengan baik.

Pada kebanyakan ibu bapa yang berjaya melatih anak autism mereka solat dan berpuasa, kelebihan kanak-kanak tersebut menepati rutin inilah antara faktor utama keberkesanannya. Sebagai contoh, rutin untuk solat adalah rukun solat yang berulang-ulang dan mudah untuk ditiru oleh anak. Pada peringkat awal, ibu bapa tidak perlu untuk mengenalkan konsep rakaat atau hafalan bacaan pada setiap rukun, cukup sekadar anak meniru pergerakan dan tertib dalam setiap rukun sudah memadai sebagai pengenalan. Solat juga mempunyai rutin waktu iaitu azan pada setiap waktu solat, maka kanak-kanak autism yang kebanyakannya lebih ‘straight forward’ cara fikirnya dan mengikuti rutin dengan baik, akan lebih mudah menerapkan nilai solat setiap kali mendengar azan.

Memberi kefahaman mengenai rutin puasa pula adalah lebih mudah kerana perbezaan siang dan malam yang ketara. Rutin puasa adalah siang waktu berlapar dahaga, dan malam selepas azan maghrib adalah waktu berbuka. Amalan berbuka puasa bersama-sama juga memudahkan mereka memahami konsep waktu yang dibenarkan makan adalah ketika semua orang makan bersama-sama. Ibu bapa boleh menggunakan kaedah ‘social story’ dengan menggunakan flash card untuk memperkenalkan konsep siang dan malam dan mengaitkannya dengan waktu puasa dan waktu berbuka. Puasa separuh hari seperti yang dipraktikkan untuk melatih kanak-kanak tipikal berpuasa juga boleh dipraktikkan bagi kanak-kanak autism tetapi mungkin sedikit sukar untuk memberi kefahaman kepada mereka, kerana tiada rutin yang jelas seperti perbezaan siang dan malam.

Walau bagaimanapun, puasa lebih menguji kemahiran menunggu (waiting skill) kanak-kanak autism. Biasanya  ibu bapa akan mengalami sedikit kesukaran apatah lagi sekiranya mereka tantrum kerana kelaparan dan ketidak upayaan untuk menunggu. Pada peringkat awal, ibu bapa boleh mengenalkan konsep ‘berpuasa’ untuk makanan kegemarannya atau makanan rutinnya sahaja. Sebagai contoh, sekiranya kanak-kanak tersebut rutinnya memakan nasi, ‘puasakan’ dia dengan nasi sahaja dahulu dan gantikan dengan makanan lain yang lebih ringan dalam kuantiti yang kecil dan hanya benarkan memakan nasi selepas waktu berbuka puasa.

Sudah pasti lain kanak-kanak lain keupayaan, kerenah dan cabarannya. Sedangkan melatih kanak-kanak tipikal mematuhi solat dan puasa juga banyak ceritanya, apatah lagi kanak-kanak istimewa. Tetapi  dengan kesungguhan dan konsistensi para ibu bapa, guru-guru dan orang sekeliling menerapkan dan melatih mereka, saya yakin sedikit sebanyak akan memberi manfaat dan progress yang baik. Seperti mana kita selalu mengharapkan mereka mampu berdikari menguruskan diri seperti insan lain apabila dewasa nanti, jangan diabaikan keupayaan mereka mengisi kerohanian mereka seperti insan lain juga. Mampu atau tidak akal mereka menerima dan mematuhinya, itu kita soalkan setelah berusaha mencuba menerapkan dalam diri mereka. Selamat menjalani ibadah puasa dengan tertib dan sempurna, semoga puasa dan amalan-amalan kita menjadi amalan yang diangkat dan dipilih untuk mendapat pahala berlipat kali ganda, in shaa Allah.

BIODATA PENULIS
Amirah Mohd
; Occupational Therapist. Graduan lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini berkhidmat sepenuh masa di Excel Qhalif . Beliau merupakan sebahagian tenaga pengajar di kelas Excel Qhalif Playgroup Xtra dan sesi Excel Occupational Therapy.

*****

Pin It on Pinterest

Shares
Share This