“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana”.  (Surah An Nur : 58)

Dari dalil ini, jelas perintah Allah kepada ibubapa supaya mengasingkan tempat tidur dengan si anak apabila mencapai usia mumaiyyiz atau tahu membeza yang baik dan buruk. Tetapi sebaik-baiknya, lebih awal dari itu juga adalah terbaik. Di Barat, budaya mendidik anak tidur berasingan yang memang ditekankan sejak usia bayi lagi.

Antara hikmahnya mengasingkan tempat tidur anak dengan ibubapa ialah:

  1. Anak-anak lebih berani, berdikari dan matang.
  2. Wujud privasi untuk ibubapa.
  3. Anak-anak akan lebih menghormati ibubapa.

(Ibubapa wajib mengajar anak cara masuk bilik ibubapa selepas mengasingkan mereka dari tempat tidur seperti mengetuk pintu dan meminta izin untuk masuk terutama tiga waktu yang dinyatakan dalam ayat di atas).

Tips mengalakkan anak-anak tidur sendiri :

1.  SEDIAKAN RUANG YANG SELESA
Sediakan bilik yang kemas, bersih dan persekitaran ceria yang menarik minat anak-anak supaya mereka merasa teruja mempunyai bilik sendiri seperti orang dewasa juga. Beri peluang untuk bersama-sama membuat pemilihan cadar dan kelengkapan bilik yang mereka sukai agar mereka seronok dengan pilihan yang mereka buat.

2.  BERI PENJELASAN
Jelaskan dengan rasional kenapa mereka perlu tidur berasingan. Usah terlalu memaksa, pujuk dan terangkan secara perlahan-lahan. Namun begitu janganlah mudah berputus asa jika pada proses awal usaha untuk memujuk mereka tidur berasingan tidak berjaya.

3.  BERI MASA
Beri masa percubaan untuk mereka tidur bersendirian. Mungkin pada awalnya ibubapa perlu menemani mereka sehingga mereka betul-betul terlelap. Mungkin juga perlu selang-seli hari. Insya Allah berkat kesabaran dan percubaan yang berterusan, lama-kelamaan mereka akan boleh tidur bersendirian tanpa paksaan.

4.  BERI DORONGAN
Beri dorongan dan ruang untuk mereka merasa selesa dan yakin untuk tidur bersendirian. Ulangi keyakinan kita bawa mereka adalah anak-anak yang berani dan suka bahkan seronok tidur dalam bilik mereka sendiri. Dorongan yang berterusan akan membuatkan mereka lebih yakin.

 5.  AKTIVITI SEBELUM TIDUR
Lakukan aktiviti menarik bersama-sama sebelum tidur seperti bacakan cerita sirah-sirah Nabi sebelum tidur, kemaskan mainan di dalam bilik sebelum tidur, temankan mereka untuk berwudhuk dan baca doa sebelum tidur bersama-sama.

6.  JANGAN TAKUT-TAKUTKAN
Jangan sesekali takut-takutkan anak-anak dengan gelap mahupun hantu sedari mereka masih kecil.  Ini antara salah satu punca utama kenapa susah untuk mengasingkan anak dari tempat tidur ibuayah.

Perasaan lumrah ibubapa akan mudah merasa kasihan dan tidak sampai hati mengasingkan tempat tidur dengan anak. Tetapi yakinlah semuanya demi kebaikan mereka agar anak-anak membesar dalam suasana yang lebih beradab dan berdisiplin.

====================================

BERITA BAIK: Sesi ‘Trial Class’ Playgroup Kini DIBUKA. Beri peluang anak anda merasai pengalaman manis dalam sesi kelas bersama kami. Anak bakal didedahkan dengan interaksi sosial yang sihat, perkembangan yang membantu kemahiran motor halus/kasar serta aktiviti belajar sambil yang meransang minda mereka. Klik link banner di bawah untuk mendaftar

Pin It on Pinterest

Shares
Share This