Sesi persekolahan baru sahaja bermula. Maka bermulalah episod drama di waktu pagi hari antara ibu dan anak. Masalah bangun pagi di kalangan anak-anak sering kali menjadi mimpi ngeri buat kaum ibu. Mengejutkan anakanda tersayang sebenarnya memerlukan teknik dan taktik yang betul. Selain bekalan kesabaran yang tebal dalam diri si ibu.

Bagi ibubapa yang menghadapi kesulitan untuk mengejutkan si manja di awal pagi, dikongsikan tips mengejutkan anak-anak untuk bangun tidur dengan mudah dan gembira ;

# PERSEDIAN SEBELUM TIDUR

  • Seeloknya makan malam lebih awal supaya anak-anak boleh tidur lebih awal. Makan malam yang lewat dan berat sebelum waktu tidur boleh menggangu tidur dan membuatkan anak anda lebih susah untuk bangun di pagi hari.
  • Sesetengah pertarungan untuk bangun awal pagi adalah berpunca daripada tidur pada lewat malam. Hadkan penggunaan gadjet mahupun televisyen yang boleh melekakan anak-anak sehingga berjaga ke larut malam.
  • Siapkan juga kelengkapan untuk esok pagi seperti kerja sekolah, alatulis, pakaian sekolah, beg sekolah dan sebagainya dengan lebih awal. Bila semua sudah sedia, urusan pada waktu pagi insya Allah akan berjalan dengan lebih lancar.

# TIDUR DENGAN BAHAGIA

  • Berikan motivasi sebelum tidur.Cetuskan keghairahan dengan cerita-cerita persekolahan yang menaikkan semangat mereka untuk seronok pergi ke sekolah. Beri dorongan denganmenjelaskan bahawa guru-guru dan kawan-kawan pasti tertunggu-tunggu kehadiran mereka di sekolah esoknya. Dan guru-guru suka siapa yang datang awal pagi ke kelas.
  • Sebelum tidur, pesanlah untuk mereka baca doa sebelum tidur beserta surah Al-Muawwizat (3 Qul).
  • Elakkan konflik sebelum tidur. Jika ada, selesaikan dengan segera. Pujuk anak dan terus bermaaf-maafan. Berikan pelukan dan ciuman pada si manja sebelum mereka tidur. Pastikan mereka tidur dalam keadaan gembira dan mencium tangan ibuayah terlebih dahulu sebelum mereka lena dibuai mimpi.
  • Ketika mereka dalam zon separa sedar (tidur-tidur ayam), selitkan juga doa ibuayah dan programkan minda si manja untuk mereka mudah bangun awal untuk ke sekolah.
  • Pastikan anak-anak tidur dalam suasana aman, jauh dari gangguan dan kebisingan. Jika memasang rakaman bacaan Al Quran semasa anak-anak tidur, minimakan kelantangan bunyinya.

# KEJUTKAN DENGAN KASIH-SAYANG

  • Beri salam kepada anak yang sedang tidur. Gunakan nada suara yang lembut, bukan suara yang tinggi seperti, “Assalamualaikum anak soleh. Bangun sayang, anak ibu ni suka bangun awal”.
  • Gerakkan mereka dengan sopan, bukan agresif. Sentuh hujung ibu jari kaki mereka dan goyangkan perlahan-perlahan. Jangan direntap ibu jari kaki mereka, kelak mereka menyimpan dendam.
  • Elakkan mengetuk pintu bilik mereka dengan keterlaluan sehingga menyebabkan anak bangun dalam keadaan terkejut dan ketakutan.
  • Kejut anak secara berperingkat. Jangan memaksa mereka. Jangan terus disimbah air ke atas mereka.
  • Panggil nama mereka dengan lembut dan teruskan menggoyang kakinya. Jika masih belum sedar, kuatkan sedikit suara dan goyang badannya.Teruskan memanggil namanya dan panggillah panggilan yang baik.Kejutkannya sambil memujinya : “Bangun sayang, anak umi yang baik, anak umi yang soleh, anak umi yang rajin. Anak ummi ni senang bangun. Ummi kejut, terus bangun.”
  • Sebaik saja anak bangun, terus berikan anak anda ganjaran ciuman dan pelukan supaya timbul rasa gembira pada diri mereka untuk bangun tidur. Usap kepalanyasambil bercakap dengan lembut agar si manja terus mandi, solat subuh dan bersegera ke sekolah untuk menjadi anak yang bijak pandai.
  • Berilah ganjaran dari sudut pujian dan galakan apabila si manja memberikan kerjasama yang baik untuk bangun tidur di awal pagi sebelum ke sekolah. Hargailah setiap perkembangan mereka, teruskan mendorong dan berdoa.

Dari sudut segi psikologi, jika seorang anak itu dikejut dengan herdikan atau pukulan, maka minda separa sedar akan diaktifkan sedikit demi sedikit untuk membenci dan berdendamdengan orang yang membangunkan itu. Seandainya rutin setiap dinihari kita mengejutkan anak-anak dengan cara yang kurang beradab, maka sebenarnya kita telah menyalakan api kebencian yang bahaya dalam minda separa sedar anak itu. Oleh itu, elakkanlah perbuatan yang DILARANG sewaktu mengejutkan anak bangun dari tidur seperti :

  1. DILARANG meninggikan suara.
  2. DILARANG menggunakan kata-kata kesat atau makian.
  3. DILARANG menepuk dengan pukulan kasar atau kuat.
  4. DILARANG menyimbah air.
  5. DILARANG membebel berterusan tanpa henti.

Diharap cara dan langkah-langkah di atas mampu memotivasikan ibubapa untuk mengejutkan si manja di awal pagi dengan lebih tenang. Sekiranya si manja terus-terusan meragam dan liat untuk bangun di awal pagi, laluilah ia dengan sabar dan positif. Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan mengambil masa yang berbeza mengikut perkembangan masing-masing.

Semoga warna-warni di pagi hari ini menjadi episod eksklusif untuk dikenang baik untuk si manja mahupun buat mama dan papa. Hiburkanlah hari anda dengan sketsa pagi si comel.

===================================

BERITA BAIK: Sesi ‘Trial Class’ Playgroup Kini DIBUKA. Beri peluang anak anda merasai pengalaman manis dalam sesi kelas bersama kami. Anak bakal didedahkan dengan interaksi sosial yang sihat, perkembangan yang membantu kemahiran motor halus/kasar serta aktiviti belajar sambil yang meransang minda mereka. Klik link banner di bawah untuk mendaftar

Tags: , , , , , , , , , ,

2 comments

Trackbacks and pingbacks

  1. Tips cara kejutkan anak bangun pagi | Meniti hari
    […] Sumber : http://www.excelqhalif.com/2015/01/19/teknik-taktik-kejut-anak-bangun-pagi/ […]
  2. Tips cara kejut anak bangun pagi - Hanis Healthy LifeHanis Healthy Life
    […] Sumber : http://www.excelqhalif.com/2015/01/19/teknik-taktik-kejut-anak-bangun-pagi/ […]

Leave a Reply