Solat adalah tiang agama sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

Solat itu tiang agama, barangsiapa yang mengerjakannya maka ia menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya ia meruntuhkan agamanya.”
{Hadis riwayat Al-Bahari dan Muslim }

Dalam Islam, apabila anak-anak sudah memasuki usia 7 tahun, kedua-dua ibubapa bertanggungjawab mengajar dan mendidik anak mereka bersolat seperti mana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan salat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”
{ Taha : 132 }

Namun, sekiranya anak-anak sudah berusia 10 tahun, tetapi mereka masih malas untuk bersolat, ibubapa mempunyai hak untuk memukul anak-anak itu tetapi dengan had-had tertentu yang bertujuan memberi pendidikan. Ini antara salah satu peranan dan tanggungjawab ibubapa untuk membentuk jati diri Muslim dalam diri anak-anak. Pernah kami kongsikan panduan merotan dan menghukum anak. >klik sini<

Adalah lebih baik jika anak-anak ini sudah didedahkan dengan rutin solat seawal usia mereka. Dalam satu hadis riwayat Tabrani, Nabi Muhammad SAW bersabda; “Tiada ada satu kanak-kanak kecil yang membesar dengan mengabdikan diri  kepada Allah sehingga besar dan mengekalkan agamanya sehingga meninggal, akan dikurniakan ganjaran pahala 99 darjat orang siddiqin”.

Berdasarkan teori mendidik anak-anak bersolat menurut Imam Al-Ghazali, ia boleh dibahagikan kepada tiga peringkat penting, iaitu ;

  1. Tawjih (membimbing)
  2. Tasbit (memantapkan)
  3. Himmayah (masa untuk penguatkuasaan)

Ketiga-tiga kaedah ini perlu dipraktik oleh ibubapa tanpa mengabaikan salah satu daripadanya. Sekiranya hanya menggunakan salah satu daripada kaedah di atas ini, pengajaran itu akan menjadi tidak sempurna. Dan ikhtiar ke arah melahirkan anak-anak yang taat dan faham tentang ibadah solat mungkin lebih sukar untuk dicapai.

Menyedari tuntutan agama, ramai di kalangan ibubapa yang berterusan mengali ilmu dan kaedah terbaik untuk mendidik anak bersolat supaya mereka tidak dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak kerana telah mengabaikan amanah-Nya.

Dikongsikan beberapa tips ringkas yang boleh ditambahbaik oleh ibubapa untuk menanam rasa suka solat bermula daripada anak-anak berumur 4 tahun lagi. Cadangan ini boleh disesuaikan mengikut suasana dan keadaan keluarga masing-masing.

Didik Anak BersolatA) PENDIDIKAN DARI DALAM RUMAH

1. Suasana utamakan solat
Ibu bapa adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak. Untuk mengajar anak solat sedari kecil, ibubapa perlu mewujudkan suasana dalam keluarga yang mengutamakan solat. Bila azan berkumandang, segera bersedia untuk solat. Tutup TV dan hentikan perkara-perkara yang melalaikan. Ini akan menjadi contoh disiplin yang baik untuk anak-anak.

2. Ibubapa tunjukkan contoh
Anak-anak adalah peniru paling baik bagi setiap tindak-tanduk ibubapa. Anak-anak bawah 4 tahun lebih seronok dan mudah untuk diajak menunaikan solat. Tetapi nanti dahulu, mereka tentunya mudah meniru hanya apabila selalu melihat ibubapa mereka solat sedari umur mereka masih bayi. Sekiranya anak-anak jarang melihat ibubapa solat, maka mereka juga tidak dapat membayangkan sesuatu yang tidak tercapai oleh akal mereka.

Anak-anak lebih mudah percaya apa yang mereka lihat sendiri daripada apa yang kita beritahu.  Malah, 80% didikan adalah melalui tauladan yang bukannya melalui perkataan semata. Tauladan bermaksud apa yang mereka nampak dilakukan oleh ibubapa setiap hari.

3. Solat di tempat terbuka
Solatlah di ruang terbuka di dalam rumah. Biarkan anak-anak nampak dan faham ibubapa mereka selalu solat. Bagi anak-anak kecil yang berusia sekitar 1 hingga 3 tahun, memadailah  mereka sekadar memerhatikan ibubapa sedang solat atau ikut sama solat sambil mereka bermain-main. Biarkan jika mereka suka menarik-narik telekung si ibu. Bertenanglah jika kita baru rukuk mereka sudah pun sujud.  Kita belum habis lagi mereka sudah pun beri salam. Usah bertegas atau berkeras.  Jangan sampai anak-anak merasakan solat itu satu yang susah dan menakutkan.

Ini sepertimana teladan yang telah ditonjolkan sendiri oleh Rasullullah SAW sebagaimana yang diceritakan bahawa Baginda Rasulullah solat berjemaah di masjid dan Baginda sendiri menjadi Imam. Tiba-tiba, cucunya yang bernama Hassan memaut leher Baginda ketika Baginda sedang sujud. Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan memanjangkan sujudnya ketika itu. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya: “Engkau memanjangkan sujud?” Jawab Rasulullah SAW: “Cucuku sedang menunggangku maka aku tidak sampai hati tidak menyampaikan kehendaknya”.

4.  Solat berjemaah
Didiklah anak-anak untuk cintai solat berjemaah.  Tiap kali ibubapa mahu solat, jangan lupa ajak anak-anak untuk solat bersama-sama. Bagi ibubapa berkerjaya, jikalau tidak sempat berjemaah pada waktu Subuh, boleh berjemaah di waktu Maghrib.  Apabila masuk waktu solat, ajaklah si manja untuk berwudhuk bersama-sama. Hamparkan sejadah di ruangan yang sesuai.  Dorong anak lelaki untuk berani azan dan disusuli iqamat.  Selepas solat, zikir dan doa. Boleh beri peluang untuk anak-anak bacakan doa-doa yang mereka telah pun pelajari di tadika. Tambah kemanisan solat berjemaah dengan memberi tazkirah pendek sesama ahli keluarga.  Didiklah anak-anak untuk bersalaman dengan ibubapa dan memohon maaf sesama ahli keluarga. Lazimkan solat secara berjemaah dan anak-anak akan terbiasa bahkan tertunggu-tunggu dengan rutin keluarga yang ini.

5. Hadiahkan kelengkapan solat
Oh, sebelum terlupa. Belilah hadiah kelengkapan solat untuk anak-anak kita seperti telekung, kopiah dan sejadah yang khusus dan menarik untuk mereka.  Ini boleh menaikkan semangat mereka untuk merasa seronok bersolat. Berikan juga pujian apabila mereka memakai pakaian solat dengan sempurna sebagai satu galakan dan dorongan.

6. Dorong anak untuk solat
Anak-anak kecil suka mendengar cerita-cerita. Belikan buku berkenaan solat yang mesra kanak-kanak. Bawakan kepada anak-anak kita kisah-kisah sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tentang solat.  Sampaikan pada mereka bagaimana Nabi Muhammad SAW sangat suka solat malam hingga bengkak-bengkak kaki Baginda. Ceritakan juga kesan dan akibat yang akan menimpa mereka yang tidak solat baik balasan di dunia atau akhirat.  Teruskan memberi dorongan melalui cerita ganjaran syurga dan seksa neraka.

Ibubapa bekerjasamalah untuk bisikkan di telinga mereka sewaktu anak-anak tidur. “Anak soleh ayah, rajin solat yer nak.”  Ulangi setiap malam dengan yakin dan positif.

7.  Beri ganjaran
Sentiasa mutaba’ah (membuat pantauan) kepada anak-anak kita sama ada mereka sudah menunaikan solat atau sebaliknya. Usah kedekut untuk memberi ganjaran dari sudut pujian dan hadiah fizikal pada anak-anak jika mereka menunjukan perkembangan yang baik dari hari ke hari.


Anak Solat Berjemaah
B) PENDIDIKAN LUAR RUMAH

1. Solat di mana-mana
Jika dalam perjalanan balik kampung atau pun keluar berjalan-jalan, fahamkan pada anak-anak tentang keutamaan solat. Istiqomah untuk berhenti solat di surau atau masjid. Jangan serik bawa anak-anak untuk solat bersama-sama di tempat awam.

2. Solat di tadika
Sebaik-baiknya, pilihlah tadika atau pusat asuhan yang memberi pendedahan awal kepada anak-anak kita tentang ibadah solat. Jika anak-anak didedahkan dengan rutin amali solat jamaah bermula dari kecil, Insya Allah mereka lebih mudah solat tanpa disuruh-suruh. Tugas ibubapa untuk memperkemaskan dan memantapkan pemahaman tentang ibadah solat akan bertambah mudah dengan sokongan pihak tadika.

3. Solat di surau dan masjid
Biasakan anak-anak ke surau atau masjid ketika mereka masih kecil lagi.  Anak-anak yang sudah dibiasakan dengan suasana beribadah tidak akan kekok melakukannya apabila sudah akil baligh. Bersabarlah dengan ragam anak-anak yang pelbagai pada awal-awal latihan sebelum mereka mula membiasakan diri dan kemudiannya menjadi satu tabiat. Tambahan pula, apabila anak-anak ke masjid, potensi berkawan dengan mereka yang kaki solat juga lebih tinggi.

4. Solat di kampung
Jika balik ke kampung halaman, beri ruang untuk anak-anak kita bersama sepupu-sepupu mereka untuk solat berjemaah. Dorong mereka untuk bergilir-gilir azan, iqomat, menjadi iman dan juga membacakan doa. Percayalah walaupun mereka masih kecil, mereka akan lebih cepat belajar memimpin dan berani ke hadapan jika amalan ini menjadi ‘makanan harian’ mereka. Secara tidak langsung, ia juga boleh mengukuhkan hubungan persaudaraan antara mereka bermula dari usia kecil lagi.

Kesimpulannya, dalam mendidik anak ada dua bahagian yang perlu ibubapa ambil perhatian. Pertamanya, ialah usaha ibubapa dan yang keduanya ialah doa kepada Allah SWT. Kita tidak boleh sombong dengan usaha kita semata-mata. Banyakkan berdoa kerana hati kita dan anak-anak kita adalah kepunyaan mutlak Allah SWT.

Senjata utama orang mukmin adalah doa. Doakan anak-anak setiap kali kita teringat akan mereka meskipun ketika itu kita sedang sibuk bekerja, memandu, memasak dan sebagainya. Bahkan doa ini juga perlu bermula ketika mengandungkan si manja lagi.

Boleh diamalkan surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud,

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”.

Buat semua ibubapa, suburkanlah kesabaran, ketabahan dan istiqomah dalam mendidik anak-anak untuk mencintai solat. Tidak boleh dinafikan kepayahan dan cabaran yang bakal dihadapi amatlah besar. Berikan masa bagi anak merasa seronok untuk solat tanpa dipaksa-paksa. Setiap anak-anak berbeza penerimaan mereka.

Yakinlah dan positif, Allah pasti makbulkan doa kita.

Semoga manfaat buat ibubapa. 🙂
-Nur Haslaily  M. Nasir-

===================================

BERITA BAIK: Sesi ‘Trial Class’ Playgroup Kini DIBUKA. Beri peluang anak anda merasai pengalaman manis dalam sesi kelas bersama kami. Anak bakal didedahkan dengan interaksi sosial yang sihat, perkembangan yang membantu kemahiran motor halus/kasar serta aktiviti belajar sambil yang meransang minda mereka. Klik link banner di bawah untuk mendaftar

 

 

Tags: , , , , , , , , , ,

Leave a Reply