Assalamualaikum dan salam penuh kebahagiaan,

Tidak ada yang mampu saya luahkan hanyalah syukur yang tak terhingga ke hadrat Illahi di atas kemeriahan dan sambutan yang menggalakkan daripada para ibu bapa pada sesi Kelas Percuma yang kami anjurkan pada 8hb dan 15hb Oktober yang lepas. Seramai 40 orang kanak-kanak yang berusia antara 2 ke 4 tahun hadir dengan semangat dan ketawa riang dalam setiap aktiviti seperti nyanyian, permainan dan bercerita di kelas playgroup kami. Seperti biasa, dimulakan dengan surah Al-Fatihah dan Doa Penerang Hati bersama-sama pada permulaan kelas , anak-anak melompat kegirangan seakan tidak sabar untuk belajar sambil bermain tatkala muzik dipasangkan.

Sifat Ingin Tahu :-

Sifat inkuiri atau ingin tahu mereka jelas terserlah apabila mereka mudah menumpukan perhatian dalam sesi Story Circle’ yang dijalankan. Mereka mudah mengikut dan meniru setiap pergerakan yang dilakukan oleh guru mereka . Idea kreativiti mereka pula mula berkembang apabila diberi peluang untuk mencuba sendiri membuat hasil seni menggunakan hands print dalam sesi ‘Art & Craft’ baru-baru ini. Mereka bebas mencuba mewarnakan tangan mereka sendiri menggunakan cat air atau water colour yang disediakan dan cukup berbangga dengan hasil kerja tangan pertama mereka itu !

Warna merupakan unsur asas bagi sebuah kehidupan. Anak-anak sangat selesa dikelilingi dengan pemandangan yang berwarna-warni. Menggunakan cat air dalam sesi kelas tersebut, merupakan salah satu pendedahan awal tentang warna asas yang ada dan air sebagai sumber semulajadi kurniaan dari Allah S.W.T. Melalui pemilihan warna kesukaan mereka mencerminkan perasaan dan sikap mereka sebenarnya. Jangan terkejut di mana rata-rata memilih warna biru sebagai pilihan utama dan ini jelas menunjukkan ekspresi jiwa mereka yang tenang dan damai.

Permainan sebegini amat penting dalam perkembangan emosi yang stabil dan membantu peningkatan kemahiran kognitif mereka. Melalui teknik permainan yang betul yang didedahkan sejak dari kecil, ianya dapat membentuk asas kreativiti dan daya pemikiran yang terpandu sehingga dewasa kelak. Kepentingannya sama seperti proses bayi belajar untuk merangkak sedikit demi sedikit sebelum mereka mahir untuk bertatih dan berjalan.

Otot yang Lemah

Selain itu, otot-otot tangan mereka masih lemah untuk memegang pensil apatah lagi mengawalnya. Aktiviti belajar sambil bermain ini mampu merangsang saraf tangan dan tubuh si manja supaya lebih terlatih. Secara tidak langsung aktiviti belajar secara santai menjadi medium bimbingan dan latihan buat mereka. InsyaAllah dipost mendatang saya akan terangkan tentang kemahiran kognitif dan kawalan otot  ini dengan lebih lanjut.

Mungkin selama ini, kita merasakan permainan sebegini tidak penting kerana ianya tidak menyumbang apa-apa terhadap perkembangan tumbesaran anak-anak secara fizikalnya. Tetapi tahukah anda, apabila si manja anda mula melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan ataupun mekanikal contohnya, sudah pasti kenangan bermain jongkang-jongket bertahun dahulu akan diguna pakai pada kehidupan mereka ketika itu. Ya, pastinya logik relatif dan formulanya berlainan tetapi hukum alam serta teknik aplikasinya tetap sama !

Justeru itu, disebabkan kesedaran betapa pentingnya para ibu bapa agar tidak memandang mudah akan kelebihan permainan kreatif ini pada usia kecil anak-anak, pihak kami dengan berbesar hati ingin menjemput anda seisi keluarga ke sesi Kelas Playgroup Percuma yang akan diadakan pada 30 Oktober ini.

Bukan hanya keperluan fizikal dan nutrisi patut diberi perhatian, keperluan emosi dan psikologi melalui permainan juga perlu dititik beratkan. Jika kita faham nilai yang dapat dibina melalui setiap elemen dalam permainan kreatif ini, pastinya kita dapat membantu anak kita untuk tidak terlepas satupun asas penting perkembangan awal kanak-kanak secara menyeluruh. Pastikan anak anda mendapat cukup keperluan dalam tumbesaran mereka seperti rakannya yang lain. 🙂
Salam hormat dan selamat maju jaya.

Pin It on Pinterest

Shares
Share This