Pada masa kini, pelbagai tadika, taska atau pusat perkembangan minda kanak-kanak tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Kebanyakkannya juga menekankan konsep yang hampir sama iaitu berteraskan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran utama dan diterapkan nilai-nilai Islam.

Ada sesetengah ibubapa rambang mata dengan pautan iklan yang menjanjikan hasil dan keberkesanan terhadap anak-anak yang dihantar kepada tempat-tempat tersebut.

Kadangkala, penggunaan jenama atau ‘branding’ sesuatu pusat pendidikan awal kanak-kanak itu juga antara faktor para ibubapa membuat pilihan.

Apa itu pendidikan ? 

Berdasarkan Kamus Pelajar Edisi Kedua, pendidikan bermaksud perihal atau perbuatan mendidik. Ini juga bermakna pendidikan boleh melibatkan perkara yang baik mahupun yang tidak baik.

Ia bukan hanya satu perkataan yang dibina daripada sepuluh huruf tetapi hakikatnya ia membawa makna yang lebih mendalam dan merupakan suatu perkara yang dapat memberi impak yang amat besar kepada seseorang individu, kumpulan, masyarakat, bangsa, negara malahan seluruh dunia.

Pendidikan memerlukan konsep

Pada hemat saya, kaedah pendidikan yang terbaik adalah terhasil daripada konsep atau idea pengasas pusat pendidikan atau tadika itu sendiri. Jika pengasasnya ingin menekankan konsep pendidikan berasaskan montessori, setiap satu elemen di dalam tadika tersebut haruslah melambangkan konsep yang dibawa.

Begitu halnya juga jika tadika atau pusat perkembangan minda tersebut menekankan konsep berunsurkan kaedah khalifah atau ‘khalifah method’. Kebanyakkan daripada kita menghantar anak-anak ke sesebuah tadika berasaskan konsep yang diketengahkan. Ianya ibarat ‘janji’ yang perlu ditepati oleh sesebuah pusat pendidikan tersebut.

Bagaimana untuk bijak memilih ?

a) Logo produk atau syarikat – Segala apa matlamat atau kepakaran sesebuah tadika atau pusat perkembangan minda boleh ditafsirkan melalui penjenamaan mereka melalui logo yang dipaparkan. Logo yang eksklusif atau outstanding bukanlah logo yang dicorakkan dengan pelbagai warna.

Almaklumlah ianya pendidikan awal kanak-kanak, segala warna ceria ingin diselitkan. Ianya bukan sahaja tidak melambangkan konsep yang spesifik malah nampak carca-marba.

Sebab itu kebanyakkan rungutan atau soalan yang saya terima tentang ketidakpuasan hati para ibubapa apabila menghantar anak mereka di tadika-tadika ini melalui Fan Page Facebook Excel Qhalif akar umbinya saya dapati adalah kelompongan konsep yang mereka bawa.

Kadangkala, tadika-tadika ini juga masih mencari-cari identiti mereka yang sebenarnya. Pengecaman melalui logo yang diketengahkan inilah adalah kesimpulan mudah yang sangat membantu para ibubapa dalam memilih tadika atau taska yang terbaik buat anak-anak. The simpler is better.

Contoh yang paling mudah ialah dengan melihat jenama-jenama antarabangsa yang telah kukuh bertahun-tahun di pasaran. Apa persamaan mereka-mereka ini ? Ianya ialah logo dan konsep yang ringkas tetapi mempunyai maksud yang tersendiri. Sehinggakan hari ini, para pelanggan membeli barangan atau khidmat mereka kerana ‘trust’ kepada logo yang mereka hasilkan.

b) Jangan pandang pada nama – Apa ada pada nama jika ianya tidak menyumbang apa-apa. Elakkan menjadi mangsa iklan dalam membuat keputusan terutama hal pendidikan awal kanak-kanak. Kadangkala tadika yang tiada nama lebih berkesan cara pengajarannya berbanding tadika yang bertaraf 5 bintang. Hakikatnya, tadika yang kurang berjenama ini kemudahan untuk bertemu dengan pengetua atau pengasasnya lebih mudah dan ‘transparent’. Kita boleh bercerita dari hati ke hati tentang apakah yang kita inginkan daripada mereka. Setiap pandangan dan permasalahan kita akan didengar dan diperhalusi tanpa kompromi.

c) Kenali pengasasnya – Jika berkesempatan dalam membuat pilihan, kenalilah pengasasnya secara dekat mahupun jauh. Tidak dapat bersua muka tidak semestinya kita tidak dapat kenali pengasanya. Kini dunia tanpa sempadan segalanya memungkinkan. Kita boleh buat sedikit kajian melalui hasil pandangan pengasasnya melalui blog beliau untuk kita selami cara pemikiran pengasasnya. Ianya lebih jelas dalam kita memahami hala tuju bahtera yang beliau ketuai. Kerana, anak-anak kita bakal menjadi salah satu anak kapalnya kelak.

Saya harap 3 panduan mudah yang diberi ini dapat membantu para ibubapa semua dalam memilih pusat pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik buat si manja. Ianya mungkin sangat penting bagi ibubapa yang baru pertama kali menghantar anak ke tadika.

Ianya tidak boleh dinafikan hari ini bahawa saya dapati ada segelintir pusat pendidikan awal kanak-kanak lebih mementingkan keuntungan daripada pembinaan sahsiah dan akhlak anak-anak syurga ini. Semoga kita memperoleh hasil yang baik setanding bayaran yang dibelanjakan setiap bulan buat anak-anak.

Selamat maju jaya

Teacher Ayu di Excel Qhalif

Pin It on Pinterest

Shares
Share This