Bertanya dan menjawab soalan adalah perkara asas dalam memulakan perbualan. Antara soalan lazim yang kita tanyakan pada anak ialah, “Aiman nak makan?” ataupun “Aiman, apa ni?”. Bagi anak di bawah usia 4 atau 5 tahun mereka kerap bertanya kepada kita itu dan ini untuk mengetahui sesuatu perkara.

Tetapi berlainan halnya jika anak kita yang dikenalpasti mempunyai masalah lambat bertutur. Penggunaan soalan yang salah dan tidak mengikut tahap keupayaan komunikasi mereka, akan membuatkan mereka menghindarkan diri  dan kurang minat untuk mendengar apa yang kita katakan. Apatah lagi untuk berkomunikasi bersama.

Bertanya terlalu banyak soalan pada anak akan mematikan perbualan dan komunikasi. Ini kerana mereka tidak faham soalan yang diberi. Sungguhpun begitu terdapat beberapa cara untuk bertanya pada anak-anak ini.

Sebelum diterangkan beberapa jenis soalan yang betul dalam merangsang komunikasi anak, semak dahulu peraturan atau rules dalam bertanya kepada anak.

Peraturan Dalam Bertanya

  • Bertanya pada soalan yang anak kita faham sahaja. Contoh pertanyaan rutin seperti “Nak makan, Nak mandi, Nak shi-shi” (kencing) dan sebagainya.
    .
  • Bertanya pada soalan yang anak mampu jawab; samada secara verbal atau nonverbal (tunjuk-tunjuk atau isyarat). Contoh pertanyaan; “Nak susu lagi?” samada anak berupaya cakap  “Nak” atau sekadar mengangguk-angguk sahaja.
    .
  • Bertanya soalan yang menunjukkan kita berminat dengan topik yang anak sedang lakukan. Disampingnya juga kita perlu bertanya soalan yang kena dengan situasi. Contohnya; Anak kita sedang menonton satu babak pergaduhan dalam kartun Frozen’. Soalan yang mungkin baik pada ketika itu ialah “Ooo..Princess Elsa marah dengan Princess Anna ke? “. Anak mungkin akan mengangguk sahaja atau menjawab “aah dia bergaduh sebab kan…. ”
    .
  • Bertanya apabila anak memberi perhatian pada kita. Jangan terus bertanya tanpa dapat perhatian mereka.

Setiap anak mempunyai tahap komunikasi mereka. Bagi anak yang mempunyai masalah “speech delay” sangat penting bagi ibubapa untuk bercakap mengikut tahap mereka. Mesej takkan dapat dibalas jika anak tidak faham apa yang kita cakap atau bertanya. Saranan saya, rujuk segera dengan pelatih terapi komunikasi atau hospital untuk memberi intervansi awal kepada anak.

3 Jenis Soalan Tahap Mudah – ‘Beginner Stage’

Soalan Berbentuk Pilihan; “Nak Itu atau Nak Ini” – Kita bertanya dengan memberi klu/’clue’ pada anak untuk memberi respon. Kita boleh gunakan objek sebenar untuk bertanya, “Khalif nak susu atau coklat ? “. Tunggu anak untuk beri respon pada soalan kita. Anak akan terarah pada objek yang kita halakan pada aras mata dan samada anak menjawab atau hanya menunjuk kepada objek yang dia mahu. KESAN : Ada komunikasi 2 hala yang baik boleh meningkatkan tahap respon anak selepas itu. Anak pun seronok apabila kita faham mereka mengikut keupayaan komunikasi yang terhad mereka ada ketika itu.



Soalan Pilihan ‘Ya’ Atau ‘Tidak’
– Soalan ini untuk kita ketahui apa yang anak mahukan. Contoh ; “Nak main kat luar?”. Itu soalan yang kita jangka mesti dia akan jawab ‘Ya’. Selepas anak jawab ya baru kita teruskan perbualan dengan mereka. Anak belajar untuk ‘take turn’ dalam perbualan tersebut dan tidak terus lari atau sebagainya. Jika sedang bermain bola di luar tadi, kita boleh tanya soalan seperti “nak main lagi ?”. Kemudian, tunggu respon anak samada dia jawab “nak lagi” atau “main lagi”.


Soalan WH
– Paling rendah tahap kesukaran ialah What – Apa. Selepas itu, Where- Dimana, kemudian Who-Siapa, When-Bila dan terakhir ialah Why-Kenapa. Ada sesetengah soalan WH ini boleh dijawab anak tanpa perkataan pun. Mereka boleh faham dengan respon hanya menunjuk ke arah objek atau membunyikan suara / ‘sound’.
Contohnya, kita bertanya “mana stokin Khalish ?”. Anak boleh respon dengan hanya mengangkat stokin jika ada di depan matanya atau jika dia tidak nampak hanya membuat signal tangan ‘tak ada’. Pada permulaan ikut tahap komunikasi anak, tanya soalan yang mudah yang mana objek itu berdekatan dengannya. Samada objek sebenar atau boleh lihat dalam buku cerita.

Soalan WH yang salah bagi tahap komunikasi anak yang rendah seperti “Khalish nak makan apa ?” atau “Siapa tu Khalish ?”. Soalan-soalan ini perlu jawapan yang spesifik. Mereka masih lemah untuk itu. Akhirnya mereka tiada memberi respon seperti ‘ignore’ soalan tersebut atau beri jawapan yang salah. Soalan seperti itu dipanggil ‘question stoppers’ kerana kita sendiri mematikan perbualan itu dengan soalan yang berat untuk mereka jawab. Senang kata, mereka ‘no idea how to respond it’.

Namun, saya faham kebanyakkan ibubapa tersasar dalam memberi soalan dan soalan lagi untuk mendapatkan respon anak. Jika anda merasakan lazim berbuat perkara begitu, tak mengapa ‘you’re not alone’. Ramai yang begitu. Ianya adalah reaksi semulajadi kita apabila anak tidak boleh bercakap.

Tetapi seperti yang saya nyatakan tadi, terlalu banyak soalan/‘question after question’ hanya membuatkan mereka ‘lari’ dari bercakap dengan kita. Jadi hadkan bertanya, tanya pada tahap yang rendah buat mereka dan banyakkan beri informasi pada mereka dalam rutin harian. InshaALLAH, pasti ada beza. Baca dan praktik.

Excel Qhalif Playgroup Xtra

Program ini direka eksklusif untuk anak-anak yang berkeperluan khas seperti autisme, speech delay, ADHD, ADD, global delay GDD, dyslexia mahupun down syndrome. Ia dijalankan secara intensif setiap hujung minggu (Sabtu & Ahad) di mana aktiviti yang dijalankan merangkumi teknik Terapi Carakerja (OT) dan Speech Program.

Antara objektif program ini adalah menjadikan ibubapa sebagai terapis yang berkesan kepada anak disamping menambah ilmu pengetahuan ibubapa yang terlibat. Program bukan sahaja teori, malah menekankan latihan dan amali bersama anak. Penerangan lanjut tentang program ini, boleh didapati di www.excelqhalif.com/excel-qhalif-playgroup-xtra.

Pin It on Pinterest

Shares
Share This