Biasanya ibu ayah rujuk anak mereka kepada doktor dan terapis kerana masalah  perkembangan anak dalam berkomunikasi dan berdikari. Sebab dua perkara ini adalah antara isu yang ketara membuatkan mereka lain dari anak-anak lain. 

Tetapi, ada satu isu yang tidak hanya dialami oleh anak bekeperluan khas saja, tapi anak-anak tipikal juga sebahagiannya tak terlepas, iaitu tak lain tak bukan adalah masalah tingkah laku. Kadang-kala ada juga anak yang dirujuk pada doktor dan terapis, bukan kerana  masalah perkembangan seperti bertutur, masalah perkembangan motor atau masalah pembelajaran, tetapi semata-mata disebabkan masalah tingkah laku. 

“Eh, bukan zaman kita kecik-kecik dulu, ada jugak masanya buat perangai, kena marah dan rotan dengan mak ayah, tapi takde lah sampai nak kena bawak pergi jumpa doktor..”

Masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak, selalunya dipandang ringan atas alasan kanak-kanak baru nak membesar dan belum mahir lagi beza perkara baik dan buruk. Ibu ayah biasanya akan ambil pendekatan untuk terus menegur dan membetulkan tingkah laku buruk mereka mengikut gaya didikan masing-masing. Tapi ada anak yang walaupun setelah 50 kali ditegur, didenda, atau diberi peringatan, masih tetap dengan tingkah laku buruk tersebut, membuatkan kadang-kala ibu bapa jadi buntu, di mana silapnya? 

Tidak dinafikan terlalu banyak punca yang mendorong seseorang anak mempunyai masalah tingkah laku. Antara faktor utama tentunya adalah dari persekitarannya. Kanak-kanak adalah peniru terbaik dan otak mereka menyerap perkara sekeliling seperti span menyerap air. Mungkin tingkah laku buruk itu ditiru dari rancangan kartun, dari kawan-kawan di sekolah, malah mungkin juga ditiru dari adik beradik dan ibu bapa itu sendiri. 

Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perkembangan pula, punca masalah tingkah laku mereka kebiasaannya datang dari limitasi mereka untuk bertutur dan memahami arahan dengan baik, serta kemahiran ‘reasoning’ yang terhad, menyebabkan wujud masalah tantrum melampau, dan kurang keupayaan mengawal emosi. 

Tetapi dalam banyak-banyak punca yang biasanya kita tahu dan dengar, ada satu punca kepada masalah tingkah laku yang ramai tidak tahu, iaitu faktor pengambilan diet/pemakanan anak. Sebenarnya telah banyak kajian yang dibuat untuk melihat kaitan pemakanan dengan tingkah laku kanak-kanak, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kajian-kajian yang secara yakin membuat kesimpulan bahawa pengambilan makanan juga adalah antara faktor yang menyumbang kepada masalah tingkah laku kanak-kanak. 

Seperti yang disebut oleh American Psychological Association (APA),
“Kanak-kanak yang mengambil pemakanan yang sihat adalah lebih bagus dalam pengawalan stress dan emosi”. 

Secara jelas ramai yang mengetahui betapa lambakan pilihan makanan ringan dan makan segera ini tidak baik untuk perkembangan otak dan tubuh anak secara keseluruhannya. Tetapi tidak ramai yang mempunyai kesedaran bagaimana jenis-jenis makanan ini juga mempu memberikan kesan buruk kepada emosi dan tingkah laku anak. 

Antara fakta yang dibuktikan oleh banyak kajian bagaimana makanan segera mampu memberi kesan buruk kepada tingkah laku anak adalah kerana isi kandungan makanan itu yang selalunya mempunyai pewarna makanan, gula dan garam berlebihan dan juga pengawet makanan. 

Sebagai contoh, satu kajian dilakukan dalam tempoh sebulan oleh UK Asthma and Allergy Research Center. Kajian ini melibatkan seramai 227 orang kanak-kanak berumur 3 tahun di mana tempoh kajian dibahagikan kepada dua minggu awal dan akhir. Untuk dua minggu awal, kanak-kanak ini setiap hari diberi minum jus buah yang mempunyai 20mg pewarna makanan dan 45mg pengawet. Manakala dua minggu seterusnya pula mereka diberi minum air yang sama dari segi warna tetapi tanpa pengawet dan pewarna makanan.

Ibu bapa semua kanak-kanak ini kemudiannya diminta untuk mengisi laporan penilaian tingkah laku anak mereka dalam pelbagai kriteria seperti masalah untuk tidur, tantrum, focus dan konsentrasi anak, mengganggu orang lain, dan menyampuk orang lain berbual. Laporan dari ibu bapa jelas menunjukkan kesan buruk yang ketara terhadap tingkah laku anak mereka akibat dari pengambilan pengawet dan pewarna makanan. 

Apa yang lebih mengelirukan adalah, pengawet makanan dan pewarna makanan ini digunakan secara meluas walaupun dalam jenis makanan yang kita anggap sihat, sebagai contoh roti, sos, yogurt, susu berperisa dan sebagainya. Oleh demikian, dalam dunia moden ini, kita sebenarnya tidak terlepas daripada pengambilan bahan pewarna dan dan pengawet makanan.

Tetapi apa yang wajar dipertimbangkan oleh ibu bapa adalah, bagaimana mengawal punca mengambilan bahan pengawet dan pewarna ini, kepada jenis-jenis makanan tertentu sahaja. Secara jelas juga, makanan yang dimasak di rumah atas yang terbaik kerana ibu bapa sendiri dapat mengawal kandungan pemakanan tersebut. Oleh demikian, sangat disarankan untuk ibu bapa nekad menjadikan makanan yang dimasak di rumah sebagai pengambilan makanan utama anak. Makanan ringan dan segera yang mempunyai bahan pengawet dan pewarna boleh dijadikan sebagai makanan sampingan yang dihadkan pengambilannya dalam tempoh masa tertentu, berkemungkinan sebagai ganjaran untuk anak, atau diambil semasa hari bercuti sahaja. 

Apa yang lebih penting, untuk melatih anak tidak bergantung kepada makanan ringan dan makanan segera, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik dahulu. Elakkan memakan makanan ringan dan segera di depan anak ye!


Untuk info lanjut, boleh klik link atau gambar di atas.
www.excelqhalif.com/early-intervention-programme

Pin It on Pinterest

Shares
Share This